
Bapa rantai anak untuk cari rezeki
GAMBAR menunjukkan anak Chuanliu yang berumur dua tahun dirantai di luar sebuah kompleks beli-belah di wilayah Fangshan, China.
BEIJING - Ekoran desakan hidup, seorang pemandu teksi motosikal tidak berlesen di wilayah Fangshan terpaksa merantai seorang anak lelakinya yang berumur dua tahun di luar sebuah kompleks beli-belah supaya dia dapat keluar bekerja, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Bapa berusia 42 tahun itu, Chen Chuanliu berkata, walaupun dianggap kejam, tindakan itu merupakan satu-satunya cara bagi memastikan anaknya selamat setelah anak perempuannya yang berusia empat tahun hilang pada bulan lalu.
Chuanliu merantai budak lelaki itu setiap hari sejak Jumaat lepas supaya dia boleh keluar menghantar pelanggan.
Bagaimanapun, dia berhenti berbuat demikian pada Selasa lalu setelah dinasihati pegawai-pegawai pentadbiran tempatan.
"Isteri saya tidak dapat menjaga anak-anak saya kerana sakit mental dan saya pula perlu mencari rezeki," kata Chuanliu.
"Saya tidak mempunyai gambar anak perempuan saya untuk digunakan pada iklan mencari orang yang hilang. Saya tidak mahu tragedi sama menimpa anak lelaki saya," tambahnya.
Sejak berita mengenai kesusahannya disiarkan akhbar tempatan, Chuanliu menerima beberapa tawaran lumayan daripada mereka yang mahu mengambil anak lelakinya untuk dijadikan anak angkat namun dia menolak semua tawaran itu.
Pihak pentadbiran tempatan telah memujuk pemandu teksi itu supaya pulang ke kampung halamannya di wilayah Sichuan, barat daya China tetapi dia enggan berbuat demikian.
"Sekurang-kurangnya di sini, saya dapat mencari wang. Saya tidak mempunyai apa-apa di Sichuan," katanya. - Agensi
